Monday, September 13, 2010

PENYAKIT KESEPIAN



Kesepian biasanya dikaitkan dengan kehidupan bersendirian, tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak memperdulikan apa yang berlaku di sekeliling. Ramai orang tidak sedar bahawa kesepian boleh menimpa sesiapa sahaja termasuklah orang yang nampaknya aktif di dalam masyarakat dan sentiasa dikelilingi oleh orang ramai.
Kesepian bukanlah benteng yang memisahkan jasmani seseorang daripada orang lain. Ia adalah suasana dalam jiwa. Benteng berada di dalam jiwa bukan berada di luar tubuh badan. Orang boleh berada di tengah-tengah hingar bingar pasar tetapi jiwanya berasa kesepian. Orang boleh berada di tengah-tengah hilai ketawa keluarga tetapi jiwanya berasa sepi.
Orang boleh berada di tengah-tengah kesibukan pekerjaan tetapi jiwanya masih berada sepi. Orang yang gemar bersendirian pula tidak bermakna dia kesepian.
Seorang pengarang lebih suka bersendirian dengan mesin taipnya tanpa dia berasa kesepian. Seorang penyair lebih suka bersendirian dengan kertas dan kalamnya tanpa dia berasa sepi. Seorang ‘abid lebih suka bersendirian dalam bilik khalwat tanpa dia berasa sepi. Seorang pelukis lebih suka bersendirian di puncak gunung dengan kertas lukisannya tanpa dia berasa kesepian.
Lawan kepada kesepian ialah keriangan atau keceriaan. Manusia yang paling riang ialah kanak-kanak. Hujan yang turun perlahan-perlahan membuatnya riang kerana dia dapat berendam di dalam lumpur. Hujan yang turun lebat sehingga banjir masih membuatnya riang kerana dia boleh bermain sampan dan pelampung.
Angin yang bertiup perlahan membuatnya riang kerana dia dapat bermain tanpa terasa keterikan panas matahari. Angin yang bertiup kencang membuatnya riang kerana dia boleh bermain laying-layang. Angin ribut juga membuatnya riang melihat pepohon menari-nari. Kerbau berlagak membuatnya riang. Arnab melompat membuatnya riang.
Oleh sebab kanak-kanak sentiasa riang dan tidak mudah dihimpit oleh kesepian maka perubahan pada jiwa kanak-kanak atau jiwa keanakan itu yang patut dikaji bagi memahami maksud kesepian.
Jadi, kesepian adalah keadaan hati yang tidak dapat menerima bahan dari  luar dan tidak dapat mengeluarkan bahan dari dalam. Ia merupakan benteng ghaib yang memisahkan seseorang daripada dunia luar dan memisahkannya daripada dirinya sendiri.
Ia terbina akibat kehilangan sesuatu yang sangat dihajati. Biasanya ia terbentuk melalui satu-satu peristiwa yang sangat kuat mencengkam hati, seperti kematian orang yang sangat dikasihi dan diharapkan. Peristiwa itu menjadi suis menghidupkan lampu kesepian dan memadamkan lampu yang mengeluarkan cahaya atau warna yang sensitif dengan suasana keliling.
Dia adalah umpama orang yang hidungnya tersumbat. Walaupun disiram dengan minyak wangi namun, kewangian itu tidak mampu dihidunya. Dia juga umpama orang yang pekak telinganya. Suara halilintar menggegar bumi tidak berupaya menggetarkan gendang telinganya. 
Dia adalah umpama orang yang lidahnya tidak dapat membezakan antara manis dengan masin. Dia adalah umpama orang buta yang tidak dapat melihat suasana di kelilingnya. Dia seolah-olah berada dalam bola kaca sementara isi dunia berada di luar ataupun semua isi dunia berada dalam bola kaca dan dia berada di luar.
Kesepian bukan sahaja menimpa jiwa kanak-kanak. Orang dewasa juga boleh dihinggapi penyakit ini. Secara umumnya manusia ini mempunyai lampu keanakan yang terus menyala sejak dari kecil Hinggalah dia tua dan mati
. Seorang yang telah tua masih dapat menyertai permainan ‘bodoh’ cucu-cucunya. Dia berasa seronok dengan permainan itu seolah-olah dia juga seorang kanak-kanak seperti cucunya. Seorang yang telah dewasa berasa seronok dan gembira bila mendengar cerita tentang kelakuannya sewaktu kanak-kanak dahulu hinggakan dia seolah-olah dapat melihat keadaannya di zaman kanak-kanak itu. Inilah lampu keriangan yang menerangi jiwa seseorang. Andainya lampu ini diserkup daripada menerangi jiwa maka jiwa itu akan merasai kekosongan yang boleh membawa kepada kesepian.
 
Bagaimana lampu keriangan seorang dewasa boleh padam sehingga kegelapan cahaya kesepian menyelubungi jiwanya? 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...