Sunday, August 22, 2010

bersedia hadapi suami curang

Pakar psikologi perkahwinan berpendapat isteri perlu buat kajian jika pasangan cari teman baru
Segala-galanya sudah diberikan. Kasih sayang, makan minum terjaga, perhatian dan tanggungjawab sebagai isteri tidak pernah diabaikan.
Pucuk pangkal, suamilah segala-galanya. Demam dan letih ditolak ketepi semata-mata ingin memberi sepenuh kasih sayang buat suami tercinta.
Namun, apa yang dibalasnya pada anda? Dia mempunyai wanita simpanan! Adakah anda bersedia menerima perkhabaran kecurangan suami anda?
Tentu pelbagai taksiran menerjah di kotak fikiran. Ya, mungkin kebanyakan wanita yang mengalami permasalahan sebegitu akan berasa diri teraniaya diperlakukan sedemikian rupa.
Kecurangan suami sentiasa berlegar malah mengisi setiap minit kecurangan suami bermain di benak fikiran. Pengorbanan yang dilakukan selama ini dirasakan hanyalah sia-sia.
“Banyak faktor yang tidak diketahui mengapa lelaki curang. Kita mesti mengkaji mengapa suami bertindak sedemikian (curang). Malah, mungkin juga bagi lelaki dia tidak melihat perbuatannya itu sebagai suatu kecurangan sedangkan wanita pula sangat menitikberatkan soal kepercayaan.
“Tetapi, dalam hal ini jika hubungan itu berkaitan dengan ikatan perhubungan yang tidak sah, hukumnya tetap zina,” katanya.
Mungkin lelaki bernama suami mempunyai alasan tersendiri kerana menduakan wanita. Faktor keseronokan dan sifat tidak cukup hanya satu membuatkan sesetengah lelaki mula memasang wanita simpanan.
Faktor sentiasa tidak berpuas hati membuatkan sesetengah lelaki bertindak mudah dengan mencari teman wanita. Malah, ada antara mereka tidak langsung memikirkan risiko perbuatan curang itu semata-mata atas tiket keseronokan.
Apatah lagi bila mengenangkan isteri di rumah sudah tidak secantik dan sewangi dulu. Siapakah yang harus dipersalahkan?
Berdasarkan kajian yang dibuat mendapati ada 88 faktor kecurangan dalam perhubungan. Kita juga perlu tahu sebab apa kecurangan itu berlaku,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan suami berlaku curang mungkin sebagai alasan untuk berpisah dengan pasangannya atau sekadar inginkan keseronokan.
Katanya, jika hubungan kekeluargaan ingin diselamatkan, biasanya pasangan suami isteri akan diberikan kaunseling untuk memulihkan semula hubungan, seterusnya mencari penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan.
“Namun, kita juga perlu mengambil kira sebab apa tindakan suami untuk berlaku curang. Adakah dia ingin kembali semula kepada isteri atau ingin bercerai untuk bersama dengan pasangan barunya. Begitu juga dengan isteri, adakah dia bersedia untuk menerima kembali, seterusnya memaafkan perbuatan suami,” katanya.
Ditanya panduan mengekalkan hubungan suami isteri, Dr Mat Saat berkata, banyak cara untuk pasangan suami isteri beroleh kebahagiaan selain saling mempercayai.
Katanya, penting sekali untuk mereka mengukuhkan ikatan kasih sayang sambil saling mengambil berat perihal pasangan masing-masing bagi memastikan kerukunan rumah tangga.
Lima Faktor Perubahan Suami

1 - Menjadi panas baran

Jika sebelum ini, suami sentiasa berkata dengan lemah lembut tetapi secara tiba-tiba mulai bengis dan sering marah-marah. Malah, isteri dimarahi dengan menjadikan alasan sikap isteri membebel memeningkannya padahal sebelum ini suami tidak bersikap demikian.
2 - Tiba-tiba menjadi sibuk
Perubahan ketara suami yang sentiasa bertugas di luar dengan pelbagai alasan. Malah, dalam keadaan tertentu, suami hanya menyatakan dia sibuk menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa mahu bertemu dengan anda.
3 - Sering berahsia
Segalanya tidak mahu dikongsi bersama. Baik hal di pejabat dan kisah peribadi. Tambah mencurigakan, suami sering ‘lari’ sebaik menerima khidmat pesanan ringkas (SMS). Bila telefon berbunyi pula, suami menjawab di tempat jauh dan berbisik-bisik. Siapa yang menelefon, teman lelaki kata suami! Boleh percaya ke?
4 - Semakin bergaya
Penampilan suami yang dulunya biasa-biasa bertukar dengan drastik. Rambut baru, pakaian baru dan siap dengan minyak wangi mengalahkan zaman bujang. Penting bagi isteri menyelidiki suami mereka yang bersikap sedemikian!
5 - Menjadi bertambah penyayang
Memang pelik. Jika sebelum ini hendak mendapat peluk manja bukan main payah tetapi sikap suami agak keterlaluan berbanding kebiasaan. Malah, dia juga sering memeranjatkan anda dengan pelbagai hadiah untuk mengaburi mata anda. Berhati-hati…


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...